Kewajipan Menjaga Akidah

0 comments

Assalamualaikum wbt..


Alhamdulillah, pertamanya kita bersyukur kerana kita dilahirkan ke dunia ini sebagai Muslim dan mukmin. Apabila kita membeli sesuatu yang berharga, maka kita perlu menjaganya dengan sebaik mungkin. Begitu lah juga apabila kita mendapat hidayah, maka kita perlu menjaga akidah kita dan akhlak kita sebagai manusia yang bergelar muslim. Islamlah agama yang diredhai Allah. Dan hanya Allah yang berkuasa menentukan nasib hambaNya di dunia dan akhirat.

Firman Allah yang bermaksud : ” Wahai orang-orang yang beriman , bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepadaNya dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam.” ( Ali-Imran : 102 )

Maksud ayat di atas mewajibkan setiap individu sentiasa menerima dan menghormati Islam ( hukum-hukum yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW ) pada iktikad, segala tutur kata dan perbuatannya supaya apabila datang matinya pada bila-bila masa pun, ia berada dalam keadaan beragama Islam.

Setiap muslim hendaklah menjaga akidahnya sehingga ia menghembuskan nafasya yang terakhir.Setiap hari kita berdoa supaya kita dimatikan dengan husnul khatimah (sebaik-baik penghabisan).Ia mestilah menjaga akidahnya dari menyeleweng dan rosak sama ada melalui percakapannya, perbuatannya dan iktiqadnya.

Rosaknya akidah dinamakan riddah yang dita’rifkan oleh ulama’ seperti berikut : ” Riddah ertinya berbalik menjadi kafir setelah beragama Islam dan orang yang melakukan yang demikian dinamakan murtad. “Riddah ialah seburuk-buruk dan sekeji-keji jenis kufur. Akidah sangat penting dalam kehidupan manusia kerana akidah dikira sebagai asas Islam dan sebagai asas Islam dan sebagai penentu atau pendorong. Jika di Morocco, hampir 2000 keluarga sedang dalam proses keluar dari Islam dan Malaysia juga seperti itu, maka kita hendaklah meneguhkan akidah kita kerana cabaran amat kuat pada zaman globalisasi ini.

AKIDAH SEBAGAI ASAS

Akidah dikira sebagai asas Islam. Tanpanya tidak tertegak Islam dan kehidupan individu. Akidah yang rosak mengakibatkan runtuh pegangan Islam seseorang. Sesungguhnya Allah SWT menurunkan wahyuNya untuk menyelamatkan manusia supaya selamat akidahnya dan sejahtera kehidupannya.13 tahun Nabi Muhammand semasa di Makkah, adalah zaman pembentukan akidah. Kesannya sahabat Rasullullah SAW memiliki akidah yang teguh, sentiasa yakin dengan Islam dan sentiasa menjunjung perintah RasulNya.

Akidah memainkan peranan penting dalam menentukan perjalanan hidup seseorang. Akidah adalah penggerak dan pencorak kehidupan seseorang. Akidah yang lemah mempenggaruhi gaya hidup negatif seseorang. Biasanya mereka yang tidak memiliki akidah yang jelas dan betul akan menghadapi berbagai masalah dalam kehidupan. Apakah sama akidah seorang Muslim dengan akidah seorang yang fasiq?. Jawapannya sudah tentu tidak.

FUNGSI AKIDAH

Abu A’la al-Maududi dalam bukunya ” Towards The Understanding of Islam “, merumuskan fungsi akidah dalam pembentukan peribadi sebagai berikut :

1. Menghilangkan pandangan hidup yang sempit serta membosankan.
2. Menanamkan kepercayaan terhadap diri sendiri dan tahu harga diri.
3. Membina sifat rendah hati dan sedia berkhidmat.
4. Membentuk manusia menjadi berbudi dan adil.
5. Menghilangkan sifat duka nestapa dan putus asa dalam menghadapi satu-satu persoalan.
6. Membentuk keperibadian yang teguh dan optimis.
7. Menanam sifat berani .
8. Memupuk sikap hidup berdamai dan redha.
9. Membentuk keperibadian yang sentiasa patuh kepada peraturan-peratuan Ilahi.

Sesungguhnya umat Islam pada hari ini sangat memerlukan kepada pembinaan akidah ketika zaman fitnah ini. Pembangunan lahiriah yang tidak seimbang dengan pembangunan akidah akan mengakibatkan pembangunan lahiriah itu akan hancur dan runtuh. Lihat sahaja negara Eropah yang maju ekonominya tetapi terkenal dengan keruntuhan akhlak yang melanda generasi mudanya. Sesungguhnya umat Islam hendaklah meneguhkan akidah mereka dan menterjemahkan kepercayaan mereka kepad Al-Quran dan As-Sunnah dalam kehidupan seharian mereka. Di antara cangkul-cangkul peruntuh akidah kita antaranya ialah,

1. Pengaruh barat yang berteraskan kebendaan yang menguasai masyarakat yang menyumbang kepada kerosakan akhlak .
2. Alat sebaran am , media cetak dan elektronik yang seluasnya kepada peminat hiburan.
3. Penyelewengan di dalam perniagaan dan pembangunan dan memperniagakan hak rakyat.
4. Tidak amanah dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.
5. Penumpuan manusia kepada pencapaian akedemik yang tinggi serta lupa tanggungjawab terhadap Allah.
6. Pengaruh politik wang yang mempengaruhi sebahagian ahli politik .
7. Pengaruh arak, judi, dadah dan sebagainya.

Gejala-gejala seperti ini tidak dapat dihapuskan dengan hanya bergantung kepada ketegasan undang-undang semata-mata tetapi perlu juga kesedaran agama dan akidah yang mendalam. Akidah Islam adalah berasaskan kepada ajaran tauhid. Setiap mukmin wajib menjaga akidahnya. Ia merupakan sumber kekuatan kepada pemiliknya. Dan harus disedari bahawa apa bentuk penyelewengan yang dilakukan oleh manusia hari ini adalah berpunca daripada kerosakan akidah. Jika tidak mampu untuk keseorangan, maka hendaklah masuk atau bernaung di bawah jemaah.

Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan Kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak sanggup memikulnya. Maafkanlah kami, ampunkanlah kami, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau lah Penolong kami, maka bantulah kami terhadap orang kafir.

Cara Menjadi Mad’u Yang Baik

0 comments

Selalunya kita selalu baca tulisan orang tentang method dakwah yang betul, atau cara untuk menghadapi orang yang kena dakwah atau Mad’u.Dan Pendakwah atau Da’ie disarankan menggunakan cara yang berhikmah dan sebagainya untuk berdakwah.Tapi jarang kita jumpa tulisan atau ceramah yang menyebut method atau cara orang yang didakwah.Macam mana nak terima dakwah atau nasihat dari pendakwah atau Da’ie.
Sebelum aku menulis tips2 itu, terlebih dahulu aku mengajak para pembaca untuk meneliti perkara2 ini sebelum membaca post aku.

1)Letakkan diri kita sebagai seorang manusia yang kena dakwah dan bukannya sebagai seorang pendakwah.
2)Lupakan tentang orang lain apabila membaca tulisan ini. Ingat tentang diri kita dahulu.
3)Lupakan segala pengalaman kita berdakwah. Sebaliknya ingatlah pengalaman-pengalaman kita apabila didakwah.

Okay.Mari kita check satu persatu dan mari kita tanya diri kita adakah kita seorang penerima dakwah atau Mad’u yang baik.
Tips-tipsnya ialah:

1)Lihat apa yang dikata, jangan lihat pada siapa yang berkata. (Unzur Ma Qila Wa La Tanzur Man Qaala.)

Sekiranya kita adalah seorang lelaki yang malas nak pergi solat Jemaah di surau ataupun masjid. Kita ni budak yang rajin pergi kelas, tiba-tiba datanglah seorang mamat ni. Dia ni boleh tahan rajin solat jemaah, tetapi malas sikit dalam belajar. Dia ajak kita pergi solat jemaah.

Respon kita (Mungkin )

Mungkin kita akan cakap “Elleh, kau selalu ‘tuang’ kelas, tunjuk bagus nak ajak aku solat, blahlah oi”.
Mungkin juga kita akan cakap “Kau sebelum nak nasihat aku, naikkan dulu pointer kau tu, takat rajin solat tapi pointer rendah buat apa!”. Dan mungkin banyak lagi.

Sepatutnya ,

Kita menerima apa sahaja nasihat tak kira dari siapa pun yang datang memberikannya. Hatta kalau orang bukan Islam suruh kita buat baik, kita mesti terima nasihat itu. Jangan gatal-gatal mulut sebut “Oi, kau kapir, apa kau tahu!”.
Ingat, tidak semestinya orang baik tu dia berjaya dari segi lahiriah dia, tetapi mungkin itu rezeki yang Allah kurniakan pada dia.Tidak semestinya orang yang berjaya di dunia berjaya di akhirat. Dan cuba fikirkan bagaimana jika Allah pindahkan kejayaan kita kepada dia.

2)Lupakan kejahatan atau keburukan si pendakwah.

Mungkin si pendakwah ini ada sedikit kecacatan moral. Contoh kita ni rajin sangat solat, tapi pakai baju ketat-ketat. Lepas tu datanglah seorang minah bertudung labuh ajak kita menutup aurat dengan sempurna. Malangnya minah bertudung labuh ini terkenal dengan mulut lasernya suka mengumpat dan menjadi CNN di kalangan teman-teman hostel.

Respon kita (Mungkin )

Mungkin kita akan kata: “Pakai je tudung labuh, tapi hati busuk buat apa”.
Atau kita akan jawab: “Elleh, aku tak nak jadi macam kau, pakai je tutup aurat, tapi mulut macam mangkuk jamban.”

Sepatutnya ,

Cara yang betul ialah mengucapkan terima kasih kepada si pendakwah kerana mengajak kita kepada kebaikan. Jangan hiraukan kejahatan si pendakwah, ingatlah kebaikan di dalam apa yang dia ajak. Ingat, manusia tidak sempurna hatta penulis pun tidak sempurna.Bukan manusia namanya jika dia sempurna. Yang penting kita berubah menjadi baik.

Bagaimana Jika ?

Kita ni seorang yang menutup aurat, ala-ala gadis muslimah terakhirl. Tiba-tiba datang minah yang pakai baju ketat dengan seluar jeans ajak kita pergi solat jemaah di surau. Janganlah kita tunjuk handal dan mengungkit tentang pakaiannya, sebaliknya hargailah ajakan dia. Terima yang baik dan tinggal yang buruk.Mari kita kutip mana2 kebaikan yang ada pada diri seseorang dan kita buangkan buruk sangka kita terhadap kejahatannya.

3) Jangan selidiki pendakwah.

Time aku kene tazkirah dulu, perkara pertama yang aku fikir dalam diri aku, ( ‘ Dia buat ker apa yang dia cakap ni ‘ )
Contoh.
Jika kita akan didatangi oleh seseorang yang pandai mengajak orang pastu kita ragu2 dengan nasihat dia.

Reaksi Kita ( Mungkin ).

Kita pergi intip dia kat bilik dia. Tanya kawan2 dia sampai kepada kita bersangka dengan dia. Perkara ini tidak elok sebenarnya.

Sepatutnya…

Terima nasihat dia. Tidak perli sibuk-sibuk menjadi ejen FBI mahupun CIA untuk menyiasat sama ada si pendakwah ini melakukan apa yang dia dakwah.

4) Lupakan kebaikan kita .

Mungkin si pendakwah ini adalah orang yang pernah kita bantu. Maka lupakan segala kebaikan kita kepada pendakwah itu. Contohnya seorang budak lelaki ini dulu ada pinjam duit kita waktu dia susah, kita selalu belanja dia makan dan minum sebab waktu tu dia tak ada duit. Satu hari kita berbelanja sakan, tiba-tiba kawan kita itu kata kat kita, “Tak elok membazir, kan elok jimat cermat”.

Respons Kita (Mungkin ).

Kita akan menjawab “Oi, kau tak sedar diri ke, dengan duit akulah kau dapat survive sampai
sekarang. Yang kau sibuk-sibuk apahal!”.

Maka lupakan segala kebaikan kita kepada si pendakwah. Ambiklah kebaikan
daripada nasihat si pendakwah.

5) Jangan beri alasan

Jika kita disuruh menutup aurat, jangan beri alasan panas, jika disuruh ke masjid jangan cakap sibuk. Paling kurang sebutlah “Terima kasih, Insya-Allah saya akan buat.”

6) Carilah pendakwah

Kita mesti mencari orang yang boleh mendakwahkan kita. Jangan kita hanya menunggu-nunggu. Tempat yang sesuai mencari pendakwah-pendakwah ialah di masjid atau di kuliah-kuliah. Jika kita masuk ke masjid, dan melihat ada sekelompok manusia yang sedang berkumpul, bercerita tentang isu-isu agama, membuat usrah dan lain-lain pergilah kepada mereka.

Sebelum mengundur diri aku ingin mengingatkan larangan apabila membaca topik ini:

1) Jangan baca topik ini dari kacamata seorang pendakwah kerana kita akan mencari-cari alasan untuk menjawab topik ini.
2) Jangan berfikir tentang rakan-rakan kita yang menjadi orang yang didakwah kerana nanti kita akan asyik mencari-cari kesalahan mereka sebagaimana yang tertulis dalam tips-tips di atas.
3) Jangan menjadikan tulisan ini sebagai satu teori untuk dibahas dan didebatkan, sebaliknya jadikan ia satu benda untuk diamalkan.

Ditakuti dengan melakukan larangan-larangan di atas, ia akan menjerumuskan kita ke jalan yang bengkok dan bukan lagi jalan yang lurus. Silap-silap jalan yang bengkang-bengkok itu akan membawa kita ke lembah gaung yang tak diketahui dalamnya.

Maka, aku ingin mengingatkan diri aku dan diri-diri pembaca sekalian. Apa yang aku tulis ini hanyalah apa yang aku rasa dan alami apabila menjadi seorang manusia yang didakwah. Maka, tulisan ini adalah nasihat kepada diri sendiri sebelum menasihati orang lain. Dengan menasihati
orang lain, kita sebenarnya menasihati diri sendiri.

Apabila kita mengajak manusia bersolat jemaah sedangkan diri kita sendiri selalu solat seorang diri di dalam bilik, lama kelamaan nasihat kita akan memberi kesan kepada diri kita. Kita akan asyik teringat apa yang kita ajari dan lama-kelamaan kita akan memegang apa yang kita ajari
walaupun mungkin sebelum ini kita ialah manusia yang cakap tak serupa bikin.

Sekian Wallahu’alam.

USRAH SEBAGAI TUNJANG DALAM TARBIAH HARAKIAH

0 comments

Proses tarbiah Islamiah adalah satu proses pendidikan dan pembentukan yang bukan semata-mata satu proses pembelajaran ilmu.

Usrah yang berasal daripada perkataan Arab yang membawa makna keluarga, merupakan satu medan untuk ahlinya bersama-sama menjalani satu proses pembentukan yang dibina di atas semangat ukhuwwah al-Islamiyah.

Proses pembentukan itu bermakna penekanan dan perbincangan dalam usrah yang mencakupi dalam satu bidang yang luas dan menyeluruh. Penekanan terhadap unsur-unsur yang akan melahirkan peningkatan dalam kefahaman dan penghayatan Islam sebagai sistem yang lengkap lagi melengkapi. Penekanan itu akan melahirkan semangat juang dan perbuatan secara berjamaah.

Dengan demikian haruslah diingatkan bahawa usrah hendaklah merupakan satu kelompok pendidikan yang akan melahirkan ‘amilin (para pekerja) dan bukannya sekadar mufakkirin (golongan yang berfikir) dengan tidak menafikan kepentingan orang-orang yang berfikir.

Usrah sebagai unit terpenting dalam gerakan Islam memerlukan satu bentuk penyusunan yang rapi kerana kita meyakini bahawa kebenaran yang tidak disusun rapi akan di atasi oleh kebatilan yang dirancang rapi. Sehubungan itu, organisasi usrah di setiap peringkat hendaklah diawasi sepanjang masa agar pelaksanaannya yang berkesan akan menguntungkan Islam dan jamaah.

Andaikata kebenaran itu menuruti hawa nafsu mereka, pasti binasalah langit dan bumi ini, dan semua yang ada di dalamnya. Sebenarnya Kami telah mendatangkan kepada mereka kebanggaan mereka tetapi mereka berpaling dari kebanggaan itu. (Al-Mukminuun ayat 71)

TUJUH PANDUAN UNTUK NAQIB

0 comments

Panduan 1: Kenali Ahli Usrah. Naqib perlu mengenali ahli usrahnya dengan mendalam. Selidiki latar belakang mereka: diri, keluarga, pendidikan, pekerjaan, perkara yang disukai, perkara yang dibenci dan sebagainya. Ikuti perkembangan hidup mereka: kebajikan, kewangan dan seumpamanya. Maklumat-maklumat itu boleh digunakan untuk mentadbir usrah secara lebih berkesan. Berpandukan maklumat itu, naqib boleh bertindak dengan tepat–sesuai dengan peribadi tertentu.

Panduan 2: Rancang Program Pengisian. Naqib mesti merancang program usrahnya sebelum usrah itu bermula. Antaranya, agihkan masa yang sesuai untuk slot bacaan al-Quran dan pentafsirannya, bacaan hadis, perbincangan tajuk khusus, pembersihan hati, dan hal ehwal semasa. Tetapkan terlebih dahulu tajuk yang hendak dibahaskan dan bahan-bahan rujukannya. Senaraikan juga perkara-perkara untuk diumumkan kepada ahli usrah. Naqib juga perlu membaca bahan rujukan yang berkaitan dengan tajuk perbincangan.

Panduan 3: Segarkan Usrah dengan Suasana Perbincangan. Naqib berperanan untuk menyegarkan suasana usrah dengan perbincangan yang sihat dan terkawal. Pastikan perbincangan berfokus pada tajuk yang telah dirancang. Semasa berbincang, ahli digalakkan mengemukakan nas-nas yang sahih dan contoh-contoh dari sirah Rasulullah s.a.w. Usahakan agar perbincangan itu dikaitkan dengan realiti semasa dapat dihayati dalam kehidupan seharian.

Panduan 4: Bertindak sebagai Pemimpin Tempat Bernaung. Naqib perlu menjadi qudwah hasanah kepada ahli-ahlinya dalam segala segi baik perbuatan, percakapan, perbelanjaan, cara bergaul dan berpakaian. Jalinkan ukhuwah sesama mereka, dalam atau luar usrah. Naqib juga perlu bertindak selaku kaunselor. Berbincanglah dengan mereka secara persendirian atau berkumpulan. Tanda awal seseorang naqib itu berjaya ialah apabila para ahli menjadikan dirinya sebagai tempat merujuk.

Panduan 5: Berikan Kerja kepada Ahli. Naqib perlu memberikan tugasan yang sesuai dengan minat dan kemahiran ahlinya. Ahli itu akan berasa dihargai apabila diamanahkan dengan sesuatu tugas untuk kumpulannya. Ahli itu perlu diselia secara wajar dan minimum oleh naqib. Dengan cara ini, ahli usrah akan belajar berkomunikasi dengan lebih banyak orang dan sentiasa membina hubungan dengan naqib.

Panduan 6: Pelbagaikan Kesan Sampingan. Naqib boleh juga mendidik ahli usrah dengan cara-cara lain. Antara cara yang sesuai adalah seperti yang berikut:

· 6.1 Soalan. Kemukakan soalan kepada ahli-ahli usrah tentang tajuk-tajuk yang telah dibincangkan, termasuk isu semasa.

· 6.2 Penyelesaian Masalah. Kemukakan masalah yang berkaitan dengan kehidupan seseorang ahli untuk diselesaikan. Contohnya, jika ahli itu pekerja yang sibuk, bincang dan selesaikan masalah agihan masa untuk tugas dan dakwah. Kes spesifik atau cerita boleh juga dikemukakan.

· 6.3 Permainan. Adakan “permainan” yang dapat menguji kepintaran ahli-ahli usrah. Permainan itu boleh menggunakan komputer, secara bertulis, lisan, mengira dan sebagainya. Pendekatan ini dijangka dapat mengekalkan minat ahli-ahli usrah.

· 6.4 Berkhemah dan Berkelah. Kegiatan perkhemahan di pinggir hutan atau perkelahan di pantai sangat berkesan dalam membina ikatan persaudaraan sesama ahli usrah. Kegiatan-kegiatan seperti ini memberi peluang untuk mereka berinteraksi, melakukan kerja secara berpasukan dan membina sikap suka tolong-menolong.

Panduan 7: Sediakan Laporan Penilaian. Naqib perlu melakukan penilaian dari semasa ke semasa. Prestasi ahli-ahli usrah dari segi kefahaman, kesungguhan, potensi, minat, kelemahan, kekuatan perlu dinilai dan dilaporkan kepada mereka. Naqib sendiri perlu meminta komen daripada ahli-ahli usrah tentang cara pengendaliannya, tajuk perbincangan dan sumber rujukan. Berdasarkan komen itu, langkah penambahbaikan boleh dirancang dan dilaksanakan.

Adaptasi (ringkasan dan penyesuaian) daripada tulisan Ummu Azmi, “Petua Menjadi Ketua Usrah Yang Berjaya” dalam majalah Ummi, Julai 1990, 34-35.

Tugas mendidik adalah tugas mulia di sisi Allah walaupun rumit dan memerlukan banyak pengorbanan dan persiapan. Ketua usrah hendaklah sentiasa berusaha mempertingkatkan diri sendiri. Kita hendaklah sentiasa menggantungkan setinggi-tinggi harapan kepada Allah agar dibekalkan dengan kekuatan untuk terus bekerja dan berjihad untuk Islam. Janji Allah memang benar. Sesiapa yang menolong Allah, nescaya Allah akan menolongnya dan meninggikan kedudukannya.

BANYAKKAN PROGRAM TARBIAH !

0 comments

Ketahuilah wahai sahabatku bahawa tarbiah merupakan aset yang sangat penting dalam sesebuah gerakan Islamiah. Proses pentarbiahan yang berkesan akan melahirkan jundullah yang tabah, kental hati, sabar dalam perjuangan serta kuat berjuang.

Jika kita melihat proses pentarbiahan yang Rasulullah s.a.w. lakukan dalam liku-liku perjuangannya, kita dapati pentarbiahannya cukup berkesan. Natijahnya kesan pentarbiahan 23 tahun Rasulullah s.a.w. melahirkan sahabat-sahabat yang sanggup berjuang menggadaikan jiwa serta harta benda untuk jalan Allah. Kita lihat sahaja sahabat baginda, Bilal bin Rabah yang dihukum oleh tuannya dengan hukuman yang cukup sengsara di kawasan lapang yang panas, hanya mempertahankan keesaan Allah S.W.T.

Kita lihat juga bagaimana Rasulullah s.a.w. mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar, memerpsatukan mereka sehingga wujud ukhuwah yang hebat di antara kaum Muslimin.Sehingga diceritakan ada sahabat Nabi beristeri dua sanggup menceraikan salah satu dari isterinya untuk diberi kepada saudaranya dari kalangan Muhajirin.

Inilah pengorbanan sahabat Rasulullah yang lahir daripada pentarbiahan yang cukup kuat.Kalau kita bandingkan dengan kita hari ini, sudah semestinya sangat berbeza. Sedangkan harta benda pun kita tak dapat menginfakkan untuk Islam, apatah lagi isteri kesayangan seperti mana yang dilakukan oleh sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w.

Oleh hal yang demikian, kita seharusnya dan semestinya sentiasa dan lebih menekankan soal pentarbiahan kerana kelemahan mana-mana jemaah Islamiah bertitik tolak daripada proses pentarbiahan yang begitu lemah dan tidak diambil berat. Sebab itulah kita lihat oraganisasi Islam lebih menekankan tarbiah demi membaiki kelemahan-kelemahan yang ada.

Kita sebenarnya tidak mementingkan sangat soal kuantiti untuk masa terdekat ini, tetapi walaupun jumlah kita sedikit, apabila disertakan dengan proses pentarbiahan yang kuat, insya-Allah yang sedikit inilah akan melahirkan generasi pelapis yang banyak untuk masa hadapan. Oleh yang demikian banyakkan program yang berbentuk tarbiah demi masa depan yang cerah.

PENTADBIRAN USRAH

0 comments

Setiap naqib hendaklah memastikan agar perjalanan usrahnya diatur rapi dan kemas dan jangan sampai ke peringkat yang boleh membosankan ahli-ahli usrah. Dalam hubungan ini, isi usrah janganlah dijumudkan dengan hanya membaca teks dan menghafal. Sebaliknya, pelaksanaan usrah hendaklah dipelbagaikan bertepatan dengan ciri tarbiah yang menekankan setiap aspek Islam. Kepelbagaian usrah boleh dilakukan dalam bentuk pembacaan, perbincangan, rehlah (perkelahan), riadah (sukan), majlis qiamullail dan sebagainya.

Usrah mempunyai beberapa ciri yang membezakannya daripada nizam al-tarbiyah yang lain dan antara ciri tersebut ialah:

* Usrah bersifat mutawasil (berterusan): Sesuatu pembentukan yang bersifat sekali sekala atau terputus-putus tidak akan dapat mencapai kesan yang diharapkan. Ciri ini akan membantu proses perkembangan dan penghayatan secara yang lebih berkesan.

* Usrah merangkumi semua ahli sama ada pengikut, pekerja mahupun pemimpin. Pastikan tidak ada ahli yang terlepas daripada program tarbiah.

* Dirancang dengan rapi dari semua sudut. Dilaksanakan secara bersungguh-sungguh oleh nuqaba’ dan ahli.

Antara ciri keberkesanan sesuatu usrah ialah apabila persoalan di bawah ini ditanya, jawapannya dapat diberikan dengan sempurna:

* Sejauh mana peningkatan ahli dalam penghayatan Islam?

* Sejauh mana konsep al-ta’awum (bekerjasama) di kalangan ahli dalam membantu proses penghayatan Islam?

* Sejauh mana ikatan dibentuk?

* Sejauh mana pula pelaksanaan ikatan itu dalam bentuk amalan?

Akhirnya marilah kita sama-sama membaharui syahadah perjuangan kita dengan mengulangi ucapan Allahu rabbuna (Allah tuhan kami), al-Rasul za’imuna (Rasul pemimpin kami), al-Quran dusturuna (al-Qur’an perlembagaan kami), al-jihad sabiluna (jihad jalan kami) dan al-maut fi sabilillah asma amanina (mati dijalan Allah adalah cita-cita tertinggi kami).

Dipetik dan diubah suai daripada risalah “Usrah dan Kepentingannya dalam Tarbiah Islamiah” oleh Lajnah Tarbiah dan Latihan Kepimpinan Pusat.

Wahai sahabatku, sesungguhnya Islam tidak berhajat kepada kita tetapi kitalah yang berhajat kepada Islam dan hajat ini tidak akan dapat dipenuhi kalau keindahan dan kesyumulan Islam itu hanya kita teorikan dan tidak dicernakan dalam amalan dan perbuatan kita.

USRAH TUNJANG JEMAAH

0 comments

Usrah merupakan tunjang sesuatu jemaah. Kalau usrah kemas dan berjalan dengan baik natijahnya jemaah itu kuat dan kukuh, tetapi kalaulah perjalanan usrah itu lembab dan tidak bermaya, akan lahirnya jemaah yang lemah dan tak berkembang.

Kepentingan usrah ini tidak dinafikan lagi kerana apabila kita lihat pada awal perjuangan Rasulullah s.a.w., baginda sangat mengambil berat tentang usrah di samping baginda berjalan dalam keadaan yang sirri (senyap). Ini dapat dilihat apabila Rasulullah memilih bait Arqam bin Arqam sebagai tempat usrah. Arqam ini seorang budak kecil yang memang tidak dijangka oleh orang kafir bahawa Rasulullah melaksanakan usrah di rumahnya. Kita lihat ini satu taktik atau sirriah yang dibuat oleh baginda.

Kepentingan usrah ini jelas lagi bilamana pejuang-pejuang Islam sebelum kita melihat proses usrah yang dibuat oleh Imam As-Syahid Hassan Al-Banna. Apabila kita membaca perjalanan usrahnya, kita dapati beliau sangat mengambil berat terhadap anak buahnya. Boleh dikatakan beliau akan bertemu dengan anak buahnya setiap hari walaupun cuma beberapa minit, tidak kira malam, pagi-pagi buta, atau sebagainya kerana prinsip beliau yang amat penting sekali sekadar bertemu mata antara dengan anak buah akan menimbulkan rasa ukhuwah dan semangat yang kuat dalam berjuang. Proses seperti inilah yang harus kita ambil contoh dalam kita mengendalikan perjalanan usrah.

Dengan sebab itulah kita jangan sekali-kali menjadikan usrah sebagai usaha sampingan sahaja, tetapi anggaplah usrah sebagai aset yang terpenting dalam jemaah kita—kerana usrah yang berjaya itu melahirkan jemaah yang kuat dan berkualiti, insya-Allah.Oleh hal yang demikian, wahai pejuang-pejuang Islam tercinta, kenallah diri dan muhasabah selalu.

* Di manakah kerja-kerja Islam yang telah kita lakukan untuk ummah ini?

* Siapakah diri kita yang sebenarnya?

* Apakah tanggungjawab kita dijadikan oleh Allah?

Seterusnya ingatlah janji-janji Allah yang akan membantu kita bilamana kita membantunya. Janganlah berasa ragu-ragu lagi dalam perjuangan suci ini, kerana dalam perjuangan, kita perlu berpegang pada dua prinsip sama ada kita menang atau syahid.