Akidah → Kewajipan Menjaga Akidah
Assalamualaikum wbt..
Alhamdulillah, pertamanya kita bersyukur kerana kita dilahirkan ke dunia ini sebagai Muslim dan mukmin. Apabila kita membeli sesuatu yang berharga, maka kita perlu menjaganya dengan sebaik mungkin. Begitu lah juga apabila kita mendapat hidayah, maka kita perlu menjaga akidah kita dan akhlak kita sebagai manusia yang bergelar muslim. Islamlah agama yang diredhai Allah. Dan hanya Allah yang berkuasa menentukan nasib hambaNya di dunia dan akhirat.
Firman Allah yang bermaksud : ” Wahai orang-orang yang beriman , bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepadaNya dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam.” ( Ali-Imran : 102 )
Maksud ayat di atas mewajibkan setiap individu sentiasa menerima dan menghormati Islam ( hukum-hukum yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW ) pada iktikad, segala tutur kata dan perbuatannya supaya apabila datang matinya pada bila-bila masa pun, ia berada dalam keadaan beragama Islam.
Setiap muslim hendaklah menjaga akidahnya sehingga ia menghembuskan nafasya yang terakhir.Setiap hari kita berdoa supaya kita dimatikan dengan husnul khatimah (sebaik-baik penghabisan).Ia mestilah menjaga akidahnya dari menyeleweng dan rosak sama ada melalui percakapannya, perbuatannya dan iktiqadnya.
Rosaknya akidah dinamakan riddah yang dita’rifkan oleh ulama’ seperti berikut : ” Riddah ertinya berbalik menjadi kafir setelah beragama Islam dan orang yang melakukan yang demikian dinamakan murtad. “Riddah ialah seburuk-buruk dan sekeji-keji jenis kufur. Akidah sangat penting dalam kehidupan manusia kerana akidah dikira sebagai asas Islam dan sebagai asas Islam dan sebagai penentu atau pendorong. Jika di Morocco, hampir 2000 keluarga sedang dalam proses keluar dari Islam dan Malaysia juga seperti itu, maka kita hendaklah meneguhkan akidah kita kerana cabaran amat kuat pada zaman globalisasi ini.
AKIDAH SEBAGAI ASAS
Akidah dikira sebagai asas Islam. Tanpanya tidak tertegak Islam dan kehidupan individu. Akidah yang rosak mengakibatkan runtuh pegangan Islam seseorang. Sesungguhnya Allah SWT menurunkan wahyuNya untuk menyelamatkan manusia supaya selamat akidahnya dan sejahtera kehidupannya.13 tahun Nabi Muhammand semasa di Makkah, adalah zaman pembentukan akidah. Kesannya sahabat Rasullullah SAW memiliki akidah yang teguh, sentiasa yakin dengan Islam dan sentiasa menjunjung perintah RasulNya.
Akidah memainkan peranan penting dalam menentukan perjalanan hidup seseorang. Akidah adalah penggerak dan pencorak kehidupan seseorang. Akidah yang lemah mempenggaruhi gaya hidup negatif seseorang. Biasanya mereka yang tidak memiliki akidah yang jelas dan betul akan menghadapi berbagai masalah dalam kehidupan. Apakah sama akidah seorang Muslim dengan akidah seorang yang fasiq?. Jawapannya sudah tentu tidak.
FUNGSI AKIDAH
Abu A’la al-Maududi dalam bukunya ” Towards The Understanding of Islam “, merumuskan fungsi akidah dalam pembentukan peribadi sebagai berikut :
1. Menghilangkan pandangan hidup yang sempit serta membosankan.
2. Menanamkan kepercayaan terhadap diri sendiri dan tahu harga diri.
3. Membina sifat rendah hati dan sedia berkhidmat.
4. Membentuk manusia menjadi berbudi dan adil.
5. Menghilangkan sifat duka nestapa dan putus asa dalam menghadapi satu-satu persoalan.
6. Membentuk keperibadian yang teguh dan optimis.
7. Menanam sifat berani .
8. Memupuk sikap hidup berdamai dan redha.
9. Membentuk keperibadian yang sentiasa patuh kepada peraturan-peratuan Ilahi.
Sesungguhnya umat Islam pada hari ini sangat memerlukan kepada pembinaan akidah ketika zaman fitnah ini. Pembangunan lahiriah yang tidak seimbang dengan pembangunan akidah akan mengakibatkan pembangunan lahiriah itu akan hancur dan runtuh. Lihat sahaja negara Eropah yang maju ekonominya tetapi terkenal dengan keruntuhan akhlak yang melanda generasi mudanya. Sesungguhnya umat Islam hendaklah meneguhkan akidah mereka dan menterjemahkan kepercayaan mereka kepad Al-Quran dan As-Sunnah dalam kehidupan seharian mereka. Di antara cangkul-cangkul peruntuh akidah kita antaranya ialah,
1. Pengaruh barat yang berteraskan kebendaan yang menguasai masyarakat yang menyumbang kepada kerosakan akhlak .
2. Alat sebaran am , media cetak dan elektronik yang seluasnya kepada peminat hiburan.
3. Penyelewengan di dalam perniagaan dan pembangunan dan memperniagakan hak rakyat.
4. Tidak amanah dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.
5. Penumpuan manusia kepada pencapaian akedemik yang tinggi serta lupa tanggungjawab terhadap Allah.
6. Pengaruh politik wang yang mempengaruhi sebahagian ahli politik .
7. Pengaruh arak, judi, dadah dan sebagainya.
Gejala-gejala seperti ini tidak dapat dihapuskan dengan hanya bergantung kepada ketegasan undang-undang semata-mata tetapi perlu juga kesedaran agama dan akidah yang mendalam. Akidah Islam adalah berasaskan kepada ajaran tauhid. Setiap mukmin wajib menjaga akidahnya. Ia merupakan sumber kekuatan kepada pemiliknya. Dan harus disedari bahawa apa bentuk penyelewengan yang dilakukan oleh manusia hari ini adalah berpunca daripada kerosakan akidah. Jika tidak mampu untuk keseorangan, maka hendaklah masuk atau bernaung di bawah jemaah.
Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan Kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak sanggup memikulnya. Maafkanlah kami, ampunkanlah kami, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau lah Penolong kami, maka bantulah kami terhadap orang kafir.