BANYAKKAN PROGRAM TARBIAH !
Ketahuilah wahai sahabatku bahawa tarbiah merupakan aset yang sangat penting dalam sesebuah gerakan Islamiah. Proses pentarbiahan yang berkesan akan melahirkan jundullah yang tabah, kental hati, sabar dalam perjuangan serta kuat berjuang.
Jika kita melihat proses pentarbiahan yang Rasulullah s.a.w. lakukan dalam liku-liku perjuangannya, kita dapati pentarbiahannya cukup berkesan. Natijahnya kesan pentarbiahan 23 tahun Rasulullah s.a.w. melahirkan sahabat-sahabat yang sanggup berjuang menggadaikan jiwa serta harta benda untuk jalan Allah. Kita lihat sahaja sahabat baginda, Bilal bin Rabah yang dihukum oleh tuannya dengan hukuman yang cukup sengsara di kawasan lapang yang panas, hanya mempertahankan keesaan Allah S.W.T.
Kita lihat juga bagaimana Rasulullah s.a.w. mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar, memerpsatukan mereka sehingga wujud ukhuwah yang hebat di antara kaum Muslimin.Sehingga diceritakan ada sahabat Nabi beristeri dua sanggup menceraikan salah satu dari isterinya untuk diberi kepada saudaranya dari kalangan Muhajirin.
Inilah pengorbanan sahabat Rasulullah yang lahir daripada pentarbiahan yang cukup kuat.Kalau kita bandingkan dengan kita hari ini, sudah semestinya sangat berbeza. Sedangkan harta benda pun kita tak dapat menginfakkan untuk Islam, apatah lagi isteri kesayangan seperti mana yang dilakukan oleh sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w.
Oleh hal yang demikian, kita seharusnya dan semestinya sentiasa dan lebih menekankan soal pentarbiahan kerana kelemahan mana-mana jemaah Islamiah bertitik tolak daripada proses pentarbiahan yang begitu lemah dan tidak diambil berat. Sebab itulah kita lihat oraganisasi Islam lebih menekankan tarbiah demi membaiki kelemahan-kelemahan yang ada.
Kita sebenarnya tidak mementingkan sangat soal kuantiti untuk masa terdekat ini, tetapi walaupun jumlah kita sedikit, apabila disertakan dengan proses pentarbiahan yang kuat, insya-Allah yang sedikit inilah akan melahirkan generasi pelapis yang banyak untuk masa hadapan. Oleh yang demikian banyakkan program yang berbentuk tarbiah demi masa depan yang cerah.
0 Responses to "BANYAKKAN PROGRAM TARBIAH !"
Leave a Reply