USRAH TUNJANG JEMAAH

Usrah merupakan tunjang sesuatu jemaah. Kalau usrah kemas dan berjalan dengan baik natijahnya jemaah itu kuat dan kukuh, tetapi kalaulah perjalanan usrah itu lembab dan tidak bermaya, akan lahirnya jemaah yang lemah dan tak berkembang.

Kepentingan usrah ini tidak dinafikan lagi kerana apabila kita lihat pada awal perjuangan Rasulullah s.a.w., baginda sangat mengambil berat tentang usrah di samping baginda berjalan dalam keadaan yang sirri (senyap). Ini dapat dilihat apabila Rasulullah memilih bait Arqam bin Arqam sebagai tempat usrah. Arqam ini seorang budak kecil yang memang tidak dijangka oleh orang kafir bahawa Rasulullah melaksanakan usrah di rumahnya. Kita lihat ini satu taktik atau sirriah yang dibuat oleh baginda.

Kepentingan usrah ini jelas lagi bilamana pejuang-pejuang Islam sebelum kita melihat proses usrah yang dibuat oleh Imam As-Syahid Hassan Al-Banna. Apabila kita membaca perjalanan usrahnya, kita dapati beliau sangat mengambil berat terhadap anak buahnya. Boleh dikatakan beliau akan bertemu dengan anak buahnya setiap hari walaupun cuma beberapa minit, tidak kira malam, pagi-pagi buta, atau sebagainya kerana prinsip beliau yang amat penting sekali sekadar bertemu mata antara dengan anak buah akan menimbulkan rasa ukhuwah dan semangat yang kuat dalam berjuang. Proses seperti inilah yang harus kita ambil contoh dalam kita mengendalikan perjalanan usrah.

Dengan sebab itulah kita jangan sekali-kali menjadikan usrah sebagai usaha sampingan sahaja, tetapi anggaplah usrah sebagai aset yang terpenting dalam jemaah kita—kerana usrah yang berjaya itu melahirkan jemaah yang kuat dan berkualiti, insya-Allah.Oleh hal yang demikian, wahai pejuang-pejuang Islam tercinta, kenallah diri dan muhasabah selalu.

* Di manakah kerja-kerja Islam yang telah kita lakukan untuk ummah ini?

* Siapakah diri kita yang sebenarnya?

* Apakah tanggungjawab kita dijadikan oleh Allah?

Seterusnya ingatlah janji-janji Allah yang akan membantu kita bilamana kita membantunya. Janganlah berasa ragu-ragu lagi dalam perjuangan suci ini, kerana dalam perjuangan, kita perlu berpegang pada dua prinsip sama ada kita menang atau syahid.

0 Responses to "USRAH TUNJANG JEMAAH"

Leave a Reply